RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 16 Disember 2011

Misteri Rumah Sewa


MISTERI RUMAH SEWA

KOTA BHARU, KELANTANSifat berani yang ditunjukkan oleh seorang gadis sunti bernama Su, 14, patut dipuji berbanding dengan gadis-gadis yang lain. Ini kerana, sebuah rumah sewa yang terletak di Lorong Meranti, Jalan Tok Guru dekat sini sememangnya bermisteri dan mengusik setiap kali menjelang malam. Bagi gadis lain mungkin malah lelaki sendiri pun apabila mengetahui keadaan rumah sewa berkenaan mengusik tentunya akan cabut lari atau pindah dari situ, namun tidak bagi Su malah sanggup tinggal sendirian walaupun rakan-rakan yang pernah menyewa bersamanya terus angkat kaki kerana tidak tahan dengan karenah makhluk halus yang turut mendiami rumah sewa tersebut.

Menurut Su, sebelum ini dia tinggal bersama seorang rakannya yang bernama Mek Ti. Tetapi kini, Mek Ti telah berpindah dari rumah tersebut bukan sahaja atas alasan akan berkahwin tetapi disebabkan tidak tahan dengan pelbagai gangguan yang berlaku di rumah tersebut.

Di permulaan menyewa di situ, tiada apa-apa yang berlaku di rumah tersebut walaupun rakannya itu menyatakan bahawa sebuah bilik di dalam rumah itu pernah dijadikan tempat pemujaan oleh pemiliknya. Selang beberapa hari selepas itu, telinganya mula menangkap beberapa bunyi yang pelik-pelik di persekitaran rumah sewanya itu, seperti bunyi tapak kaki orang berjalan di luar serta di atas bumbung rumah silih berganti. Namun apabila diperhatikan, tiada apa-apa pun yang kelihatan.Situasi ini seringkali berlaku di waktu larut malam iaitu kira-kira jam 3.00 pagi menyebabkan tidurnya terganggu.

Pada hari berikutnya, mata kasarnya mula dapat mengesan kehadiran susuk lembaga seperti manusia, berwajah bulat dan mempunyai hidung yang agak panjang. Diikuti penemuan satu kain putih bergerak-gerak dalam rumah tersebut seperti ada tubuh yang memakainya serta lembaga berambut panjang hingga bawah lutut sedang duduk bersila tetapi kakinya tidak kelihatan.

Disebabkan gangguan itu tidak putus-putus dialaminya, dia cuba mendapatkan khidmat seorang bomoh bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Menurut bomoh tersebut, makhluk halus yang mengganggu mereka itu adalah hantu raya yang dipuja oleh pemilik rumah sewanya itu.

Dikatakan juga, hantu raya tersebut pernah menyerupai wajah dan tubuh badan tunang kepada Mek Ti. Pada mulanya dia gembira apabila mengetahui tunangnya datang untuk menemuinya, namun apabila disapa berkali-kali tanpa jawapan daripada tunangnya itu, Mek Ti mula kehairanan. Malah ketika cuba menghulurkan tangan untuk memegang tunangnya, dengan tiba-tiba sahaja tunangnya itu melarikan diri dan terus bertukar kepada rupa binatang.

Dari jelmaan seekor binatang, makhluk itu kemudiannya tunduk lalu menjelma seperti seekor beruk yang hodoh. Namun, dia tidak dapat melihat wajah makhluk itu. Biarpun begitu, kelihatan jari-jemari makhluk itu agak panjang sambil menyikat rambutnya yang juga panjang.

"Bukan itu sahaja gangguan yang kami hadapi. Su pernah beberapa kali mendengar suara orang sedang menangis, orang tua sedang batuk dan pernah juga Su melihat rambut yang begitu panjang melayang-layang di dalam rumah ini", terang Su.

Menurut Su lagi, sebelum ini rumah sewanya itu didiami oleh warga Kemboja tetapi hanya kekal selama dua bulan sahaja kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut. Ini disebabkan anaknya sering menangis tidak mengira waktu seolah-olah nampak lembaga di rumah itu.

Biarpun kini gangguan tersebut semakin berkurang, tidak bermakna ia sudah tiada lagi. Gangguan itu tetap ada apabila dia sekali lagi ternampak rambut melayang-layang di dalam rumah selain terdengar bunyi suara orang ketawa dengan kuat sebelum melihat satu lembaga sedang mengeluarkan kepala dari leher.

Ditanya tentang fizikal makhluk misteri itu, dia menyatakan makhluk itu menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Adakalanya ia menyerupai orang tua dan ada masanya pula ia menyerupai seorang bayi dan tak kurang juga yang menyerupai seperti binatang. Manakala pakaian lembaga itu amat selekeh dan kotor. Kainnya koyak dan bertampung di sana sini.

Tambah Su, keganjilan yang berlaku di dalam rumah sewanya itu pernah diceritakan kepada tuan rumah berkenaan, namun tuan rumah menyatakan dakwaannya karut semata-mata. Keanehan yang berlaku ini bukan sahaja berlaku di dalam rumah malahan di luar rumah juga turut berlaku. Dia pernah melihat satu susuk lembaga berhampiran 'pohon cola' di belakang rumah sewanya. Malah, ada yang mendakwa pohon cola itu menjadi tempat tinggal makhluk tersebut.

Katanya lagi, gangguan-gangguan yang dialaminya itu sering berlaku pada malam Isnin dan Selasa, kerana didakwa malam-malam tersebut adalah malam orang memuja makhluk berkenaan.

Menurut Su, dia tidak bercadang untuk tinggal di rumah sewa itu dalam tempoh yang agak lama kerana tidak sanggup berterusan diganggu dan disakat lembaga itu. Walaupun gangguan itu sudah berkurangan, namun dia merasakan tidak selesa untuk tinggal di dalam rumah tersebut dan apabila sampai masanya dia akan berpindah ke tempat yang lebih aman dari gangguan yang menakutkan itu.


BERANI: Su, gadis sunti di rumah sewanya ketika menceritakan pengalamannya kepada Penulis.

Makhluk aneh berpakaian putih bergawangan di siling rumah ini.

Lembaga berambut panjang sering melangkah melaui tangga dapur ini.

ANAK PANAH: Didakwa sebagai bilik pemujaan.

"Kerlipan mata merah seperti kunang-kunang dari arah bilik air", Su.

Pontianak sering menjelma dan hilang di sebatang pokok kecil ini yang terletak di belakang rumah sewanya.

"Pohon cola sering menjadi kesukaan makhluk halus untuk bertenggek", Su.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan