RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 13 Disember 2011

Misteri Makhluk Saka


MISTERI MAKHLUK SAKA

KOTA BHARU, KELANTAN:  MEMBELA makhluk halus sebagai penjaga sebagaimana amalan orang-orang tua zaman dahulu menjadi suatu kebiasaan walaupun dewasa ini dianggap mustahil menurut pandangan golongan muda hari ini. Sampai ada yang bertekak kerana menafikan beberapa keluarga yang mendakwa kebanyakan nenek moyang di zaman lampau membela 'budak penjaga', 'hantu raya' dan sebagainya menurut istilah tentang makhluk halus.

Apabila orang yang membela makhluk ghaib itu telah meninggal dunia, maka tidak ada orang yang paling layak untuk diperturunkan atau dalam istilah lain untuk 'memeliharanya' selain daripada anak lelakinya yang sulung. Tetapi lazimnya, kebanyakan golongan muda dewasa ini tidak akan mempercayai nenek moyang mereka di masa dulu membela makhluk berkenaan yang dikatakan berperanan untuk menjaga ladang dan kebunnya daripada gangguan haiwan liar, mengawal dirinya dari diganggu dan disantau oleh orang lain yang dengki dan khianat, untuk melariskan perniagaan mahupun sebagai pengawal peribadi bagi menakutkan orang yang dimusuhi, sama ada tunduk kepada kehendaknya atau mengawal rumahnya dari diganggu oleh manusia-manusia yang berniat jahat.

Itulah yang diistilahkan sebagai 'saka keturunan'. Saka, menurut Kamus Dewan disebut juga 'pusaka' yang diperturunkan dari generasi kepada generasi yang seterusnya. Selagi generasi keluarga tersebut masih hidup, maka saka itu tetap diteruskan sehinggalah kepada generasi yang berikutnya. Maka apabila sampai kepada generasi peringkat baru, mereka tidak ingin mempercayainya kerana tidak ingin bertanggungjawab terhadap kehadiran makhluk berkenaan. Apabila tiada lagi keluarga berkenaan yang sanggup menerimanya, maka kedengaranlah makhluk berkenaan berkeliaran malah mengganggu orang lain yang lemah semangat.

Hakikat sedemikian memang disedari oleh Haji Nik Suhaimi Nik Mat Rashid atau Haji Mie ketika ditemui Penulis memberitahu, di kampungnya sewaktu ketika dulu memang wujud satu makhluk yang dianggap baik dan pada mulanya beliau tidaklah begitu mempercayai adanya makhluk tersebut kerana beliau sendiri belum pernah melihatnya. Tetapi apabila menyedari isterinya kerapkali melihat dan diusik makhluk aneh berkenaan, beliau cuba mendapatkan khidmat tiga orang pengamal rawatan tradisional (bomoh) yang menceritakan perkara yang sama. Menurut pandangan bomoh tersebut menyatakan bahawa kawasan rumahnya itu kini dikawal oleh makhluk berkenaan yang pada anggapannya mungkin adalah keturunan moyang yang terdahulu sebagai pengawal rumah berkenaan.

Melihat rupa paras makhluk berkenaan bukan seperti manusia, hantu dan jin tetapi seperti seekor burung belatuk (spesis burung tukang) yang mempunyai paruh berwarna merah dan mata seperti burung. Menurutnya lagi, kadang-kadang jelmaannya kelihatan seperti manusia tetapi bukan manusia. Makhluk berkenaan dianggap baik kerana tidak pernah mengganggu keluarganya tetapi bertindak sebagai pengawal keluarganya.

Apabila bomoh berkenaan bertanya makhluk terbabit tujuan berada di rumah tersebut. Makhluk berkenaan tidak memberikan sebarang jawapan sebaliknya tersenyum untuk menunjukkan makhluk ghaib itu suka menghuni di kawasan rumah beliau.

Katanya, dari reaksi bomoh itu agar makhluk terbabit dihalau terus dari rumahnya adalah satu perkara yang mustahil dan amat sukar baginya. Walaupun begitu, bomoh itu berpendapat makhluk itu tidak wajar dibuang atau dihalau dari rumahnya kerana sifatnya yang tidak mengganggu keluarganya dan orang lain. Bahkan katanya, makhluk tersebut seolah-olah pengawal keluarga dan rumahnya dari diganggu individu yang tidak bertanggungjawab.

"Seorang pengamal rawatan rohani memberitahu saya, untuk menghalau makhluk yang telah menetap di sini amatlah mustahil malah terlalu sukar baginya berbuat demikian. Tetapi biarlah ia kekal di sini", ujarnya mengiakan kata-kata pangamal rawatan rohani itu.

Menurutnya, dengan adanya kawalan daripada makhluk berkenaan tidak pernah berlaku kejadian atau cubaan oleh orang-orang tertentu sama ada berniat untuk mencuri, mengganggu keluarganya atau membuat khianat. Malah menurutnya, mungkin ada orang pernah ingin melakukan pengkhianatan terhadap keluarganya terpaksa membatalkan niat untuk berbuat demikian apabila mengetahui atau pernah bertembung dengan makhluk tersebut.

Katanya, makhluk itu muncul di kawasan itu sejak bulan Februari 2006 lagi. Makhluk berkenaan sukar dihalau atau dibuang kerana telah menjadi saka kecuali memindahkannya kepada orang lain. Tetapi dalam hal ini, siapakah yang sanggup menerimanya?

"Makhluk tersebut dikesan wujud sejak bulan Februari 2006 lagi. Kata bomoh, ia terlalu sukar untuk dihalau kecuali memindahkannya kepada orang lain. Tetapi siapakah yang sanggup menerimanya? ujarnya sambil menggaru kepala.

Apabila ditanya, apakah makhluk berkenaan kerapkali menjelmakan dirinya atau masa-masa tertentu ia berbuat demikian. Beliau menjelaskan, makhluk itu menjelmakan diri hanya sekali-sekala sahaja dan bukannya kerapkali. Kadang-kadang waktu tengah hari sekejap dan paling kerap menjelang Maghrib dalam rupa burung terutamanya pada hari Isnin dan Selasa.

Tambahnya, daripada cerita salah seorang bomoh kepadanya yang melihat melalui ilmu rohani, makhluk tersebut mengandungi dua jenis. Makhluk yang dikatakan menjelma dalam bentuk manusia setinggi pohon kelapa iaitu sekurang-kurangnya 20 kaki tinggi itu dikatakan kehadirannya hanya sementara kemudian ghaib begitu sahaja.

"Ada satu kali, makhluk berbentuk manusia setinggi pohon kelapa dalam 20 kaki tingginya berdiri di luar pagar berbadan gelap. Pakaian yang dipakainya tidak begitu jelas akibat warnanya yang hitam pekat, kemudian ghaib di situ:", ujarnya sambil menunjukkan makhluk terbabit yang menjelmakan diri di luar pagar rumahnya.

Ditanya tentang kaitan di antara lembaga berbentuk burung dengan manusia itu jika dilihat kepada kehadirannya di kawasan rumah beliau. Haji Mie menjelaskan, setakat yang diketahuinya kedua-dua makhluk itu tidak mempunyai sebarang kaitan. Ini kerana, makhluk yang berbadan tinggi dan berwarna gelap itu hanya sekali sahaja yang menjelma berbanding makhluk berbentuk burung yang acapkali berlegar di kawasan rumahnya.

Pada mulanya, apabila diketahui kewujudan dan jelmaan makhluk berkenaan apatah lagi memperlihatkan rupanya yang sebenar kepada isterinya terutama di kawasan rumahnya itu, menyebabkan isterinya tidak keruan. Keadaan ini turut merisaukannya sehingga beliau terpaksa membawa isterinya ke hospital untuk mendapatkan pengesahan adakah isterinya sakit. Namun, daripada pemeriksaan doktor mendapati isetrinya tidak mengalami sebarang penyakit seperti sangkaannya. Keadaan ini turut membingungkannya dengan peristiwa luar biasa itu.

Sehingga kini, beliau tidak lagi berasa bimbang tentang keadaan rumahnya daripada gangguan manusia yang ingin berniat serong mahupun khianat. Apatah lagi menurut bomoh yang memberikan semangat kepadanya supaya sentiasa bertenang, tidak terlalu berfikir dan memberikan perhatian terhadapnya. Biarlah makhkuk itu dengan kerjanya dan kita sebagai manusia dengan kerja kita. Kita tidak perlulah menunjukkan sebarang ketakutan kerana makhluk itu tidak berniat jahat atau mengganggu sesiapa.  


Haji Nik Suhaimi Nik Mat Rashid atau Haji Mie ketika ditemui Penulis di rumahnya.

Kadang-kadang lembaga sering menjelma di tingkat atas rumahnya.

Haji Mie ketika menunjukkan arah makhluk seperti manusia berbadan gelap muncul di luar pagar rumahnya kemudiannya ghaib.

Teks dan Foto:
  AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan