RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 25 Disember 2011

Misteri "Api Misteri"


MISTERI 'API MISTERI'

KOTA BHARU, KELANTAN:  SELURUH penduduk Kampung Bunga Emas, Penambang dekat sini tiba-tiba menjadi gempar apabila mendapat tahu tentang kejadian "Api! Misteri". Kejadian tersebut bukan sahaja melibatkan baju dan pakaian yang ada di rumah terbabit terbakar, namun agak pelik apabila barangan pemiliknya sendiri termasuk cucunya serta menantunya hilang akibat disorok oleh makhluk yang tidak kelihatan dengan mata kasar itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, mangsa berkenaan, Zainab binti Sulaiman, 75, yang membahasakan dirinya sebagai Mak berkata, sebelum wujudnya api misteri itu sejak 26 Disember, 2010 beberapa barangan miliknya sendiri diikuti barangan milik cucunya serta menantunya telah disorok. Ini termasuklah wang ringgit serta telefon bimbit.

"Pada mula-mula kejadian, telefon bimbit Mak hilang dan selepas itu wang ringgit pula. Mak ingat diri Mak sahaja jadi mangsa, rupa-rupanya cucu dan menantu Mak sendiri pun alami nasib yang sama", katanya sebelum kejadian 'api misteri' itu.

Katanya, pada awal kejadian yang dikatakan agak pelik itu beliau kehilangan wang simpanan sejak 10 bulan itu lagi. Manakala wang simpanan yang dikatakan hilang sehari secara misteri itu kadang-kadang melibatkan wang berjumlah RM40 dan RM50. Pada masa kehilangan wang yang dimaksudkan, beliau tidak ambil kisah sangat jumlah simpanannya yang semakin berkurangan, ini kerana wang yang ada padanya sering digunakan untuk perbelanjaan harian. Namun, disebabkan agak hairan dengan kekurangan wang simpanannya itu dirasaknnya agak ganjil, sejak hari itu beliau mula mengiranya sehelai demi sehelai dan kehilangan itu pula tidak dihebohkan kepada orang ramai termasuk jiran-jirannya kerana bimbang disalah anggap.

Walau bagaimanapun, kejadian kehilangan wang tidak setakat dialami dirinya sahaja kerana wang simpanan milik cucunya juga turut hilang sebanyak RM400 sekaligus diikuti wang tunai milik menantunya yang diletakkan di dalam dompetnya turut hilang sebanyak RM50 dan selepas itu hilang sebanyak RM80 pula. Setakat ini menurutnya, kehilangan wang yang dialami keluarganya mencecah RM2,000.

Namun begitu, beliau masih tidak pedulikan tentang kehilangan itu dan enggan berfikir tentangnya. Selepas kehilangan wang tunai tersebut, beliau ditimpa kejadian ganjil pula apabila banyak kain dan pakaian yang sering dipakainya termasuk alat penyangkut baju tiba-tiba disorok ke dalam almari. Atas dasar sabar, beliau tidak percaya ahli keluarganya itu cuba membuat 'lawak' dengan menyembunyikan kain dan penyangkut bajunya walaupun sebelum ini kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku. Akibat kesemua pakaiannya disorok di tempat itu menyebabkan terlalu sukar baginya dengan kudrat perempuan untuk mengambil pakaiannya itu kerana perlu mengangkat sebuah almari yang agak berat terlebih dahulu.

Kejadian baju dan pakaiannya disorok tidak selesai setakat itu kerana kejadian yang kedua turut disorok di tempat yang sama. Namun, sesukar mana sekalipun beliau terpaksa berusaha mengambilnya untuk dipakai. Disebabkan makhluk yang menyorok pakaiannya di balik almari itu seperti dicabar sedemikian rupa, akhirnya makhluk terbabit mengangkat kesemua baju dan pakaiannya lalu ditimbunkan di atas beg tilam tempat tidurnya. Melihatkan banyaknya baju dan pakaiannya bertimbun yang dilonggokkan di atas beg tilamnya itu, beliau mengambil baju dan pakaiannya itu untuk disangkut agar tidak berselerakan.

Walau bagaimanapun, kejadian menyorok dan menimbun pakaiannya telah berakhir. Kerana itu, beliau beranggapan kejadian sedemikian habis setakat itu sahaja dan tidak menduga kejadian berikutnya ialah baju serta pakaian yang telah disangkutnya itu kemudiannya dipotong (digunting) kecuali kain-kain yang lainnya tidak. Kejadian berkenaan berlaku di siang hari. Selepas kejadian 60 helai pakaiannya dipotong, bermulalah episod baju yang dipakainya dibakar sehelai demi sehelai.

"Bukan baju Mak saja dibakar, kain yang sering Mak pakai pun turut dibakar seumpama makhluk halus itu ingin membalas dendam terhadap Mak.

"Pada mulanya, makhluk itu membakar baju dan kain Mak yang ada di lantai dan disangkut di luar almari. Apabila kesemuanya habis dibakar, tiba-tiba makhluk itu membakar pakaian Mak yang disimpan di dalam almari termasuklah kain sarung, baju-T yang Mak lipat habis dibakar termasuk almari yang berisi pakaian itu sendiri", ujarnya.

Tambahnya, seingatnya pakaiannya yang ada di dalam almari itu sahaja yang menjadi mangsa amukan makhluk halus tersebut, tetapi tanggapannya ternyata meleset apabila kain sembahyang termasuk sejadah yang digunakan untuk solat juga habis dibakar. Hanya sehelai kain sembahyang sahaja lagi yang didapati masih selamat kerana beliau sering membawanya ke surau.

Sambungnya, berhubung dengan sejadah yang habis dibakar itu, beliau terpaksa meminjamnya daripada kariah surau di kampungnya. Lazimnya untuk tujuan solat seramai 50 orang, sejadah yang perlu digunakan di rumahnya memang cukup. Tetapi disebabkan hal yang berlaku itu terpaksalah beliau meminjamnya daripada pihak surau. Melihatkan kejadian sedemikian menyebabkan menantunya menangis kerana tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu sepanjang hidupnya sebelum ini. Bahkan beliau sendiri turut berasa sedih dan terkejut dengan kejadian sedemikian kerana semenjak beliau berpindah dari Penambang Hilir yang didudukinya sekarang selama 40 tahun itu, inilah kejadian yang agak luar biasa dialami oleh beliau dan keluarganya.

Selepas kejadian pakaiannya sendiri termasuk menantunya dipotong serta dibakar, dengan tiba-tiba makhluk ghaib yang merayau di dalam rumahnya itu bertindak menyembunyikan telefon bimbit milik cucunya pula di mana makhluk halus itu mencuri telefon bimbit milik cucunya itu lalu diletakkan di atas kitab suci Al-Quran. Kejadian itu memang diketahui ketika cucunya masuk ke tandas untuk mengambil air wuduk dan ketika itulah cucunya terkejut kerana telefon bimbit miliknya hilang lalu memaklumkannya kepada beliau. Bukan telefon bimbitnya saja, ini termasuk juga wang tunai milik cucunya yang berjumlah RM25, kad pengenalan, kad ATM bank semuanya turut hilang. Selama tiga hari cucunya mencari dokumen miliknya itu yang disorok oleh makhluk halus di rumahnya. Selepas tempoh itu, barulah kesemua dokumen miliknya ditemui di dalam almari di ruang tamu dan di bawah sehelai kertas sedangkan cucunya meletakkan dokumennya di dalam bilik tidurnya sendiri.

Selang beberapa hari kejadian dokumen milik cucunya termasuk telefon bimbitnya pula disorok di mana telefon berkenaan telah dipadamkan menyebabkan sesiapa yang memanggilnya tidak akan berdering. Kerana itu, untuk mengesan di mana telefon bimbit itu berada pastinya agak sukar. Kejadian telefon bimbitnya disorok dan hilang ditemui pula selepas itu setelah operasi mencarinya memakan masa selama tiga hari. Dalam tempoh mencarinya, beliau mengesyakki diletakkan di dalam almari, namun tidak ditemui. Tetapi selang beberapa minit beliau cuba mencarinya di tempat yang sama, akhirnya telefon yang dimaksudkan ditemui di dalam almari di ruang tamu itu juga iaitu di tempat dokumen cucunya ditemui.

Selain itu, beliau pernah membeli barang kemas kepada cucunya iaitu seutas loket dan seutas rantai juga didapati hilang disorok di balik almari oleh lembaga yang sama. Beliau mengetahui perbuatan makhluk terbabit ekoran barang kemas tersebut berbunyi ketika diletakkan di balik almari pakaiannya. Manakala seorang lagi cucunya yang perempuan (kakaknya) memberitahunya, lembaga terbabit mencampakkannya di balik almari. Jadi, cucu sulungnya yang lelaki mengingatkan adik-adiknya supaya berhati-hati dengan tutur katanya bimbang kejadian tersebut menimpa dirinya pula. Ini kerana, almari pakaian yang dimaksudkan itu amat berat dan tidak mungkin terangkat jika hanya tenaga dua orang lelaki sahaja. Namun, cucunya masih berkeras bahawa memang barang kemas tersebut ada di balik almari yang dimaksudkannya. Tetapi masih dinafikan oleh abangnya, tetapi dijawab oleh cucunya itu bahawa kata-katanya adalah benar.

Menjelang jam 12.00 malam masing-masing seramai tiga orang iaitu beliau sendiri, menantu dan cucunya bertungkus-lumus mengangkat almari yang amat berat itu untuk tujuan mendapatkan kembali barang kemas milik cucunya yang dilarikan dan disorokkan di situ. Setelah almari itu berjaya diangkat, memang benarlah barang kemas itu disorokkan di balik almari tersebut.

Menurut Zainab, kejadian seumpama itu adalah kejadian pertama yang berlaku di Penambang dan sebelum ini belum pernah berlaku kejadian sedemikian semenjak beliau tinggal di tempat berkenaan sejak 40 tahun lalu. Disebabkan itu, bukan keluarganya sahaja yang turut berasa hairan, namun jiran tetangganya juga seakan fobia dengan kejadian itu kerana bimbang dialami oleh mereka pula. Katanya, kerana itulah terdapat daripada kalangan jiran-jirannya yang datang melihat sehingga tiga kali semata-mata ingin mengetahui perkembangan api misteri dan kejadian barangan beliau dan cucunya disorok.

Katanya menambah, selang beberapa kejadian yang menimpanya, kain sembahyangnya yang digulung dan dibalut dengan getah pengikat, tanpa diduganya kain sembahyangnya itu dialihkan lalu dicampakkan oleh lembaga api misteri terbabit ke dalam enam kilo minyak masak yang ada di dapur rumahnya. Melihatkan kejadian itu, minyak masak yang telah bercampur dengan kain sembahyang dan getah pengikat tersebut terpaksa dibuangnya kerana tidak wajar untuk digunakan sebagai bahan masakan. Walau bagaimanapun, kain sembahyang tersebut terpaksa dicucinya kerana hanya itulah kain sembahyang yang masih ada disebabkan kain-kain yang lain sudah habis dipotong dan dibakar oleh makhluk halus yang seolah-olah ingin mempermainkannya atau membalas dendam terhadap diri dan keluarganya.

"Selepas kejadian kain sembahyang dicampakkan makhluk itu ke dalam minyak masak, wang tunai milik Mak sendiri turut dibuang ke dalam minyak masak. Minyak masak itu Mak terpaksa buang sebab telah bercampur-aduk", ujarnya.

Tidak lama selepas kejadian pelik yang ditimbulkan oleh lembaga makhluk ghaib itu di rumahnya, lembaga terbabit terus membuat hal lagi. Kali ini melibatkan dapur gas miliknya pula. Menurutnya, selepas air yang dijerangnya masak, beliau terus memadamkan api dapur gas tersebut. Air yang telah dimasak itu kemudiannya dimasukkan ke dalam satu bekas, jadi sebiji cerek yang digunakan untuk menjerang air yang berbaki sedikit itu diletakkan kembali di atas tungku dapur gasnya. Dengan tiba-tiba beliau terlihat seperti ada sesuatu bentuk lembaga sedang memetik dapur gasnya dan lantas dapur gasnya itu mengeluarkan api. Selang beberapa minit kemudiannya, beliau terlihat dengan mata dan kepalanya sendiri seperti lembaga tersebut mengambil sebatang lilin yang diletakkan di belakang rumahnya lalu diletakkan berdekatan dapur gasnya itu.

Tambah Zainab lagi, beliau tidak nampak lembaga yang membuat onar di rumahnya itu kerana jika beliau nampak kelibat lembaga terbabit sudah tentu cerita berkenaan tidak akan diketahui oleh orang lain termasuk jiran-jirannya. Beliau percaya, disebabkan gas dan lilin itulah punca yang menyebabkan lembaga itu digelarkan "api misteri" sehingga diketahui umum. Ini kerana, selepas itu beliau terlihat api tersebut sedang marak menyala. Melihat warna api tersebut kadang-kadang warna biru dan merah bercampur-campur. Manakala asapnya pula agak berbeza dengan asap yang keluar dari api pembakaran sampah.

Katanya, sifat api tersebut tidak sebagaimana api yang lazim dilihat sama ada dari pembakaran kertas atau sebagainya. Kejadian api misteri membakar kain dan baju miliknya yang dilonggokkan di atas katil itu berlaku di siang hari sehingga mencecah lima kaki. Manakala api misteri yang membakar baju dan kesemua pakaiannya yang diletakkan di dalam almari itu mencecah ketinggian sehingga 20 kaki. Jelasnya, kejadian api misteri itu berlaku di antara jam 7.30 pagi hingga 11.00 malam.

Berdasarkan kepada pandangan beliau, kejadian seumpama itu memang tidak masuk akal (tidak munasabah) dan kejadian tersebut juga menyebabkan beberapa jirannya menjadi takut kerana dibinbangi boleh membakar keseluruhan rumahnya dan pastinya akan melarat ke rumah-rumah yang berhampiran. Katanya, bukan sahaja agak terkejut dengan kejadian itu malahan beliau sendiri pun tidak menjangkakan kejadian berkenaan akan menimpanya.

Menurutnya, api misteri tersebut tidak pernah ingin mencabar atau menyambar beliau sejak dari mula kejadian lagi. Namun, barangan dan pakaiannya sahaja yang menjadi mangsa seolah-olah api misteri itu tidak berpuas hati terhadapnya. Hairannya, apabila beliau memadamkannya api tersebut terus padam, namun kebimbangan jelas jika api tersebut hidup dengan sendirinya. Beliau pernah merayu supaya beliau tidak dianiayai sedemikian rupa apatah lagi keadaannya yang uzur dan meminta kejadian itu ditamatkan.

Sambung Zainab lagi, beliau pernah dikunjungi beberapa anggota polis melibatkan tiga buah kenderaan perinda datang ke rumahnya  itu untuk membuat tinjauan dan pemeriksaan pada 3 Januari, 2011. Salah seorang anggota polis terbabit berkata-kata supaya beliau tidak bermain api, bimbang menyala dan membakar diri. Selepas anggota polis itu habis bersuara, dengan tiba-tiba api misteri itu menyala (hidup) di hadapan mereka menyebabkan sekalian yang ada di rumahnya pada masa itu terkejut dengan perkembangan tersebut.

Dalam hal ini, kejadian berkenaan memang agak pelik apabila api misteri itu singgah di tempat yang mudah terbakar akan terus marak menyala. Namun, api misteri jelmaan makhluk halus agak berbeza tidak sebagaimana api yang dinyalakan untuk tujuan pembakaran.

Apabila ditanya, adakah api itu berjalan, beliau menjelaskannya tidak. Namun, langkah berkesan untuk mengelakkan api misteri itu merebak beliau mengambil kain basahan lalu menekupnya menyebabkan api misteri itu terpadam.   


Zainab binti Sulaiman atau Mak.

Zainab Sulaiman ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya di Kampung Bunga Emas, Penambang, Kota Bharu, Kelantan.

Rakaman Infra-Red: Lembaga 'Api Misteri' melintasi anak tangga rumah Zainab yang sempat dirakam Wartawan RELATIF.

Rakaman Infra-Red: Wajah Zainab juga dilintasi lembaga Api Misteri ketika fotonya dirakam.

Sebahagian kain dan pakaiannya yang telah dipotong dan dibakar oleh makhluk halus 'api misteri' itu.


Orang ramai memenuhi ruang dapur rumah Zainab Sulaiman.

Kumpulan Pengamal Rawatan Tradisional memberikan bantuan untuk menyelesaikan gangguan 'api misteri' itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan