RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 15 Disember 2011

Misteri Disakat Hantu Raya


MISTERI DISAKAT HANTU RAYA

KOTA BHARU, KELANTAN:  SUDAH menjadi dasar makhluk halus suka menyakat manusia yang lemah dengan menjelmakan dirinya dalam pelbagai rupa seperti manusia dan binatang. Bahkan kadang-kadang apabila makhluk ini menjelma dalam bentuk fizikal manusia, mereka akan mundar-mandir di kawasan orang ramai untuk mencari mangsa yang boleh diusik. Dalam situasi ini, kadang-kadang makhluk halus juga sering disalah anggap sebagai pencuri atau ingin mengganggu ketenangan dan menimbulkan syak di kalangan penduduk kampung. Tabiat makhluk berkenaan yang sering menyerupai wajah dan susuk tubuh manusia turut menjadi salah tanggapan, maka berlakulah perkelahian yang berpunca dari makhluk halus tersebut.

Pengalaman berharga yang dialami oleh seorang warga emas dan bekas pesara tentera, Idris bin Ibrahim, 72, atau dikenali juga Pak Yeh ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya di Lorong Che Majid, Wakaf Siku dekat sini menggambarkan tentang hakikat itu. Katanya, kampung berkenaan pada suatu ketika dahulu masih dipenuhi hutan belukar dan semak-samun yang hanya beberapa rumah kayu sahaja didirikan di situ dan beliau adalah penduduk paling tua di kampung terbabit.

Pengalaman pertama yang pernah dilaluinya ialah sewaktu beliau sedang bercuti sebagai seorang anggota tentera dari Askar Melayu Diraja Malaysia beribu pejabat di Depoh Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 1953. Kesempatan bercuti itu digunakan sepenuhnya dan beliau pulang ke Kelantan kerana teringatkan di zaman remajanya di kampung itu.

Pada suatu malam kira-kira jam 12.00 malam, satu peristiwa misteri telah dialami oleh seorang 'Inspector Guard' dari sebuah kampung berhampiran apabila kereta dipandunya mengalami kerosakan dan beliau menunda kenderaannya itu ke lorong tersebut untuk dibaiki. Dalam masa sedang membaiki keretanya, matanya terlihat sesusuk tubuh seperti manusia. Pada mula-mulanya, beliau membuat tuduhan dan mengesyakki bahawa susuk tubuh lembaga tersebut adalah salah seorang tentera di kampung itu yang dikenali sebagai 'Pak Yeh' yang merujuk kepadanya, sedangkan beliau tiada di kampung berkenaan pada ketika itu.

Katanya, pada hari yang sama, Pak Yeh yang merupakan anggota tentera sedang bercuti telah tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 2.00 pagi. Beliau melalui jalan yang sama di tempat Inspector Guard itu membaiki keretanya dan beliau sempat menyapa inspektor itu dengan katanya beliau baru tiba.

Pak Yeh tidak mempedulikan tentang inspektor tersebut kerana niatnya untuk bercuti akan digunakan sepenuhnya bersama-sama keluarganya di kampungnya itu. Beliau ketika itu meneruskan perjalanan di celah-celah lorong sempit yang masih dipenuhi hutan belukar dan semak-samun serta kegelapan malam seorang diri dengan hanya bantuan langit dan cahaya bulan. Setibanya berhampiran pohon kecupu diikuti pohon durian yang tumbuh subur di lorong itu, dengan tiba-tiba bulu romanya berdiri tegak seperti ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedang memerhatikannya. Beliau masih belum perasan keadaan dan suasana tersebut kerana sebelum ini beliau belum pernah mengalaminya.

Namun, atas hasrat untuk pulang ke rumah beliau meneruskan langkahnya sehingga ke anak tangga rumahnya. Dengan tiba-tiba telinganya dapat menangkap satu bunyi tembakan yang bertalu-talu ke arahnya seperti tembakan senjata yang dimiliki tentera sepertinya di mana bunyi tembakan itu melebihi 15 das. Jadi, pada mulanya beliau menyangka Inspector Guard yang ditemuinya sebentar tadi yang sedang membaikpulih keretanya yang rosak di tepi jalan itu yang cuba menembaknya kerana ingin membalas dendam akibat diganggu lembaga yang menyerupai Pak Yeh.

Beliau cuba mengamati lagi adakah benar Inspector Guard itu yang menembaknya di pagi-pagi buta itu. Tetapi apabila terpandang ke arah pohon kecupu itu, amat jelas percikan api dan bunyi tembakan yang dikatakan dari senjata tentera itu datangnya dari arah pokok kecupu tersebut. Jadi jelaslah baginya, ada makhluk lain yang tidak kelihatan sedang menembak ke arahnya seolah-olah meniru lagaknya sebagai seorang tentera yang bertarung dengan musuh.

Sewaktu melangkah anak tangga rumahnya itu, beliau terdengar pula bunyi kecupu dan pohon durian di lorong tersebut tumbang dengan sendirinya, padahal tiada orang yang menebangnya. Jadi, dalam keadaan terperanjat dengan suasana misteri itu, beliau cuba membangunkan atuknya dari tidur untuk mengetahui tentang pohon kecupu dan durian yang tumbang secara tiba-tiba sedangkan semasa beliau melalui kawasan berkenaan tidak ada kelibat orang yang menebangnya. Dalam keadaan masih mengantuk, atuknya memberitahu bahawa tidak ada pohon tumbang. Itu kerja 'hantu raya' untuk menyakat orang yang lalu lalang di kawasan itu.

"Syukurlah hantu raya itu menyakat ketika pakcik di atas rumah ini. Kalau diusiknya ketika melalui lorong itu tadi, entah apa yang jadi", katanya mengingati peristiwa silam semasa disakat hantu raya itu.

Pada malam yang berikutnya pula Pak Yeh sekali lagi bertembung dengan hantu raya tersebut ketika pulang hampir Maghrib kira-kira jam 7.00 malam. Semasa melalui lorong tersebut, dari jauh dia dapat melihat dengan jelas kelibat seperti seorang manusia di kawasan itu seolah-olah sedang mencari seseorang.

Apabila sampai di rumah, adiknya memberitahu bahawa beliau nampak lembaga tersebut saling tak tumpah seperti Pak Yeh sedang mundar-mandir berhampiran rumahnya. Dia sendiri agak hairan, kenapa abangnya enggan naik ke atas rumah sedangkan hari sudah malam. Bagi mengelakkan keraguan adiknya itu bahawa beliau baru sahaja sampai, tetapi kalau dikatakan dirinya sudah agak lama di laman rumahnya adalah sesuatu yang pelik dan sudah tentu makhluk lain yang menjelma sebagai dirinya dan sedang menunggunya pulang.

Menurut Pak Yeh lagi, kadang-kadang hantu raya itu dilihatnya seperti seekor beruk besar seolah-olah sedang menunggunya di laluan yang sering digunakannya. Tetapi akhirnya, makhluk berkenaan terpaksa mengalah apabila beliau membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran, barulah makhluk berkenaan ghaib dengan tiba-tiba.

Apabila ditanya, adakah orang-orang kampungnya itu terkena sakat memandangkan itulah laluan popular hantu raya itu. Beliau menjelaskan, orang-orang kampung sebenarnya tidak tahu bahawa lembaga yang menyerupai manusia yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan adalah hantu raya. Tetapi kebanyakan di kalangan mereka menyatakan lembaga tersebut adalah pencuri.

"Hantu raya itu sering disalah aggap oleh orang-orang kampung ini. Mereka kata pencuri, sebenarnya tidak", ujarnya yang turut menafikan tanggapan beberapa orang penduduk kampung itu sewaktu ketika dahulu.

Berikutan dakwaan beberapa orang kampung kononnya lembaga tersebut adalah 'pencuri' yang mengambil kesempatan waktu malam untuk merampas harta benda orang, maka beberapa penduduk berkenaan berpakat untuk membuat kepungan dan membunuhnya. Namun, apabila berjaya membuat kepungan dan hantu raya tersebut telah terperangkap, dengan tiba-tiba lembaga tersebut ghaib begitu sahaja.

"Pada mula-mulanya mereka masih menganggap lembaga tersebut adalah pencuri. Jadi, apabila pakcik kata lembaga itu adalah hantu raya kerana pakcik pernah beberapa kali bertembung, barulah mereka percaya dan berasa takut. Apatah lagi dapat melihat dengan mata sendiri kelibat lembaga tersebut ghaib dalam perangkap yang dibuat oleh mereka", katanya menjelaskan keraguan penduduk kampung berkenaan.

Apabila ditanya, kenapa wujud hantu raya di kawasan itu sedangkan tidak ada orang yang membuat pemujaan yang kebiasaan orang dahulu buat. Beliau menjelaskan, hantu raya itu sebenarnya dipelihara oleh seorang warga emas asal di kampung terbabit untuk tujuan mengawal rumahnya dari gangguan pencuri, menaga tanah dan kampung itu dari diceroboh i oleh orang luar. Malah kadang-kadang pada ketika tertentu katanya, hantu raya itu menyamar seperti wajah sebenar tuannya untuk memberikan gambaran bahawa tuannya ada di rumah pada ketika itu, sedangkan tuannya tidak ada.

Justeru, cerita Pak Yeh dan beberapa orang penduduk kampung itu disakat dan diganggu hantu raya adalah kisah sebenar zaman silam. Kini kisah tersebut telah terpadam dari lipatan sejarah apabila hantu raya tersebut telah dihantar jauh dari daerah itu oleh seorang pakar rawatan tradisional. Hari ini, telah banyak didirikan rumah-rumah kediaman dan didiami ramai keluarga di situ. Pohon kecupu dan pohon durian yang menjadi tempat hantu raya bertenggek di situ juga telah ditebang untuk menunjukkan dulunya kawasan perkampungan tetapi kini telah menjadi pusat bandar. 


Idris bin Ibrahim atau Pak Yeh.

Idris bin Ibrahim atau Pak Yeh ketika menceritakan pengalamannya disakat hantu raya.

Di sinilah pohon kecupu dan durian yang dulunya hutan belukar, tempat Pak Yeh disakat dan ditembak hantu raya.

Kawasan laman rumah, tempat hantu raya menyerupai dirinya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan