RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 27 Disember 2011

Keris Kesan Penyakit


KERIS KESAN PENYAKIT

PASIR MAS, KELANTAN:  SESETENGAH orang belajar kerana dipengaruhi oleh rakan semata-mata. Tidak kurang juga segelintir individu menuntut ilmu kerana enggan diperlekehkan oleh orang lain. Berbanding individu yang menuntut ilmu kerana minat yang mendalam akan mencapai kejayaan yang diharapkan. Paling penting dalam apa yang dipelajari itu adalah dengan niat yang satu iaitu untuk berbakti dan membantu orang ramai yang pasti memerlukan bantuannya kelak, adalah seorang yang berfikiran waras malah patut dipuji.

Begitu halnya dengan Pakar Perubatan Tradisional, Che Idris Awang Noor, 68, atau lebih mesra dipanggil Pak Su Deris dari Kampung Seberang Pasir Mas-Salor dekat sini berkata, minatnya terhadap silat dan lebih-lebih lagi terhadap ilmu perubatan tradisional mengatasi segala-galanya.

"Ketika usia 16 tahun Pak Su belajar silat. Tetapi apabila mencecah 18 tahun barulah minat kepada ilmu perubatan tradisional secara kampung", ujarnya yang turut mengaku bahawa beliau adalah dari keturunan pendekar ketika ditemui Penulis di kediamannya berhampiran dengan sebuah jambatan yang menghubungkan laluan Salor, Kota Bharu dan Pasir Mas.

Katanya, ketika zaman kanak-kanak beliau gemar tinggal dengan atuknya yang sering dipanggilnya Tok Ayah dikenali dengan nama Tok Ayah Nik Leh yang ketika itu menetap di Kampung Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu yang mempunyai lima orang anak dan 247 cucu. Dalam jumlah cucu yang seramai itu hanya beliau seorang sahaja yang begitu berminat dengan ilmu kebatinan khususnya yang berkaitan dengan kependekaran dan perubatan tradisional.

Pak Su Deris yang beria-ia mempelajari ilmu seumpama itu memandangkan atuknya itu sudah semakin tua. Jadi, pada hematnya jika tidak diperturunkan kepada generasi yang berhajat sepertinya amatlah rugi baginya. Justeru, beliau sanggup menempuh apa jua cabaran asalkan atuknya itu dapat memperturunkan ilmu kebatinan itu kepadanya.

Mungkin kata-katanya itu ada kebenarannya, maka atuknya sanggup memperturunkan segala ilmu yang ada padanya kerana menurut tanggapan atuknya juga bahawa, di antara sekalian cucu hanya Pak Su Deris sahaja yang layak untuk menerimanya. Maka langkah pertama, beliau dikehendaki membaca, menghabiskan malah memahami setiap isi muka surat yang terkandung dalam buku yang bertulisan jawi itu kemudiannya diperdengarkan kepada atuknya. Sudah agak, beliau begitu lancar dan fasih membacanya dan dalam tempoh setahun, beliau telah dapat membaca kesemuanya kemudian dapat beramal pula dengannya.

Tambah Pak Su Deris lagi, ketika atuknya meningkat usia 115 tahun rawatan terpaksa dikurangkan kerana faktor usia. Maka dalam usia 117 tahun, atuknya meminta beliau supaya membantunya merawat pesakit yang datang dalam jumlah semakin ramai. Kepercayaan atuknya di atas kebolehannya itu tidak dipersiakan begitu sahaja kerana itulah niatnya sejak dulu.

Tiap-tiap hari Selasa dan Jumaat, rumahnya sentiasa dipenuhi orang ramai yang memerlukan khidmat rawatan dari Pak Su Deris. Beliau memulakan rawatan berkenaan sehingga atuknya itu meninggal ketika berusia 120 tahun, Pak Su Deris mula mengambil alih tempat atuknya itu sehingga hari ini yang memakan masa 43 tahun.

Adalah menjadi kebiasaan bagi setiap pesakit yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan terus daripada beliau. Sebaliknya paling kerap ialah ada keluarga pesakit yang datang menjemputnya supaya merawat di rumah masing-masing. Paling jauh sehingga ke Kuala Lumpur, Kedah dan Balik Pulau di Pulau Pinang.

"Sebelum rawatan dibuat, Pak Su menggunakan keris pusaka untuk mengesan penyakit dan asal usul penyakit itu", katanya sambil menunjukkan sebilah keris pusaka yang dibalut dengan kain kuning.

Beliau menjelaskan, rawatan tidak akan lengkap jika penyakit yang dihidapi pesakit gagal dikesan. Ini kerana menurutnya, penyakit yang dihidapi mempunyai sebab dan asal usulnya. Umpamanya orang yang akan mendirikan rumahtangga, ada sebabnya begitu juga dengan meninggal dunia, mempunyai sebabnya.

Menurut Pak Su Deris, beliau boleh merawat beberapa jenis penyakit seperti bengkak hati, masalah dalam perut, kencing manis, kanser, darah tinggi, sakit pinggang termasuk buah pinggang, sembelit, gila meroyan selain penyakit yang berpunca daripada sihir, buang saka, santau atau buatan orang. Caranya beliau akan membuat ujian ke atas pesakit itu terlebih dahulu untuk mengetahui masalah atau sesuatu penyakit yang dihidapi oleh mangsa.

Walaupun begitu menurutnya, ada beberapa jenis penyakit yang tidak boleh dirawat olehnya umpamanya penyakit jantung berlubang, masalah air dalam paru-paru dan masalah hati yang terlalu kronik. Jika pesakit mengalami masalah sedemikian, beliau menasihatkan pesakit itu supaya berjumpa doktor dengan segera.

"Setiap penyakit yang boleh dirawat, Pak Su akan berikhtiar dan menyerahkannya kepada Allah, sebab Allah menyuruh umatnya berikhtiar dan memohon bantuan dari-Nya", ujarnya.

Beliau menambah, selain penyakit yang berpunca daripada sihir atau buatan orang mahupun termakan benda berbisa, beliau juga turut merawat penyakit 'gila meroyan'. Ini kerana menurutnya, ramai di kalangan orang-orang Melayu yang keliru kononnya orang gila meroyan itu adalah perbuatan khianat dari segelintir individu yang dengki. Padahal, orang gila meroyan adalah berpunca ketika proses bersalin dilakukan tidak begitu lengkap dan sempurna.

Beliau mengingatkan, penyakit gila meroyan bukan perkara kecil dan remeh. Gila meroyan ada tujuh jenis kesemuanya dan kebanyakan yang dihadapi oleh pesakit mencecah 199 kes. Secara tidak sedarkan diri dan hilang sifat malu, kebanyakan individu yang gila meroyan akan melakukan apa sahaja seperti bertelanjang, enggan memakai kain, memungut sampah di tengah jalan, hilai ketawa seorang diri, bertutur tidak jelas maksudnya, mengarut, buang anak, mencabut rambut dan sumpah seranah.

Merawat penyakit gila meroyan tidak selesai dalam tempoh 10 minit, untuk menunjukkan wujudnya kecacatan dalaman diri manusia. Merawat penyakit sedemikian dimulai dari awal seolah-olah semasa pesakit itu mula dilahirkan, mandi limau sehingga selesai dan sembuh. Bahan-bahan atau alat yang digunakan meliputi beras (4 kg), beras pulut ( 3 kg), kelapa tua (2 biji), ayam kampung sama ada jantan atau betina (1 ekor), pelita ayam (1 biji), tepung tawar benang keras serta sehelai kain sarung untuk diberikan kepada pakar yang membidani pesakit itu.

Manakala dari segi bayaran yang dikenakan, beliau tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi bahkan di atas dasar keikhlasan pesakitnya. Ini kerana, pesanan arwah atuknya supaya tidak memaksa pesakit membayar harga rawatan sehingga menyusahkan mereka. Sebagai contohnya, sewaktu beliau merawat sakit puan, beliau hanya mengenakan bayaran RM1 sahaja, manakala nilai harga di zaman atuknya ialah dua puluh lima sen.

Di akhir perbualan, selain kerja kampung umpamanya mengambil upah menggali perigi, rutin hidup hariannya ialah merawat pesakit dari pelbagai bangsa yang melibatkan penyakit yang pelik dan luar biasa.  Justeru, Pak Su berharap supaya pesakit tidak perlu menaruh syak dan ragu-ragu kerana rawatan yang dilakukannya adalah berdasarkan kaeah rawatan Islam sebagai ikhtiar seorang hamba Allah yang lemah untuk memperolehi kesihatan dan kebahagiaan hidup yang abadi.



Che Idris Awang Noor atau Paksu Deris.

Keris pusaka yang digunakan untuk menguji dan mengesan penyakit.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan