RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 28 Disember 2011

Rawat Anak Malas


RAWAT ANAK MALAS

PASIR MAS, KELANTAN:  MENUNTUT ilmu kebatinan sudah menjadi kelaziman bagi setiap Pengamal Rawatan Tradisional dan selepas itu perlu melakukan pertapaan atau mengasingkan diri sama ada di gua-gua, bukit dan gunung yang tidak pernah dilalui orang untuk memantapkan dan melengkapkan lagi tuntutan tersebut. Namun begitu, siapa sangka terdapat juga pengamal rawatan tradisional yang tidak pernah belajar dari mana-mana guru sebaliknya kemahirannya itu disebabkan penyakit misteri yang telah dialaminya sendiri.

Peristiwa ini memang sesuatu yang tidak masuk akal. Ini kerana, kepandaian dan kemahiran sebenarnya perlu dimulai dengan belajar, menduduki ujian dan akhirnya memperolehi ijazah untuk melayakkan dirinya lulus dan mantap dalam ilmu yang dipelajari itu.

Tetapi ketahuilah bahawa, jika Allah S.W.T  mengkehendaki umat-Nya berjaya, siapa pun tidak menduga. Begitulah halnya pengalaman yang dialami oleh Pengamal Rawatan Tradisional, Che Dah binti Noor dari Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya.

"Berhubung dengan rawatan penyakit, Kak Dah tidak pernah belajar dari mana-mana guru. Cuma dapat berubat kerana sering membaca dan mengamalkan berdasarkan kepada petunjuk Al-Quran semata-mata", ujarnya yang membahasakan dirinya Kak Dah ketika menjawab pertanyaan Penulis.

Menurut Kak Dah, kepandaian beliau merawat pelbagai jenis penyakit berikutan suatu penyakit misteri iaitu beliau sentiasa kenyang. Ketika itu akhir bulan Ramadan, beliau sering berulang-alik ke masjid kerana menunaikan solat dan membaca Al-Quran di sana. Beliau akan terasa dan mudah kenyang setelah meminum air zam zam serta makan buah tamar sahaja.

"Pada suatu malam itu, Kak Dah tidak dapat tunaikan solat di masjid. Kak Dah meminta suami membeli roti kerana memang terasa sangat hendak menikmati juadah roti dengan air zam-zam. Dalam pukul 11.00 malam, suami Kak Dah memenuhi permintaan sebab Kak Dah tak tahu nak makan apa. Setelah memakan roti yang dicelup ke dalam air zam-zam itu, Kak Dah diketahui tidak sedarkan diri.

"Apabila tersedar dari pitam buat seketika itu, Kak Dah memohon doa kepada Allah, kalau kebaikan itu biarlah Allah tunjukkan perkara baik. Dan kalau perkara buruk diminta Allah jauhkan", katanya mengingatkan pengalaman yang membolehkan beliau mahir berubat semua jenis penyakit zahir dan batin dengan izin Allah.

Semenjak hari itu, beliau mula membantu orang ramai yang memerlukan rawatan yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, beliau lebih dikenali sebagai "bomoh pensil". Ini kerana, ramai di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang pernah gagal peperiksaan dan ingin mengulang semula persekolahan datang menemui beliau supaya diusahakan untuk membolehkan pelajar-pelajar terlibat dapat menduduki peperiksaan dan menjawab soalan dengan tenang tanpa wujudnya rasa gemuruh. Caranya beliau akan melakukan sembahyang hajat dan mengisikan pensil yang dibawa oleh pelajar-pelajar berkenaan dengan doa sambil menyediakan air tawar sebagaimana yang sepatutnya.

Selain itu, Kak Dah juga membantu pelajar-pelajar sekolah yang dikatakan tidak ada harapan dan malas ke sekolah akhirnya bersemangat untuk meneruskan pelajaran tidak sebagaimana sebelum ini. Hasil ikhtiar beliau kebanyakannya membuahkan hasil yang amat menggalakkan.

Contoh seumpama ini bukan sengaja diada-adakan. Ini kerana, dari makluman sebuah keluarga yang hanya dikenali sebagai Kak Nor Rusiah dari Kampung Jias, Pasir Mas menceritakan, salah seorang anak bongsunya yang baru menduduki kelas pra-sekolah enggan ke sekolah sebagaimana yang diharapkan walaupun dihantar ke tadika tersebut olehnya sendiri. Berikutan tidak mempunyai jalan terbaik untuk memujuk, beliau cuba mendapatkan khidmat Kak Dah supaya anaknya tidak menunjukkan sifat yang sedemikian. Alhamdulillah, selepas itu semangat anak bongsunya bertambah kuat untuk menduduki kelas berkenaan.

Menurut Kak Dah lagi, selain beliau dapat menyelesaikan masalah gemuruh dan gelap hati pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan, beliau juga boleh usahakan masalah lain seperti remaja yang malas sembahyang, masalah rumahtangga pasangan yang di ambang perceraian, gadis sukar dapat jodoh, masalah ketagihan rokok dan dadah, gejala keruntuhan akhlak, kanser payu dara, penyakit kronik yang sukar dirawat termasuk penyakit jantung berlubang. Di samping penyakit akibat gangguan makhluk halus seperti jin dan syaitan, sihir, santau dan saka. Kesemua rawatan yang dilakukannya beliau ikhtiarkan dengan cara sembahyang hajat, di samping pengisian doa dan menyediakan air tawar yang sepatutnya.

Mungkin di Pasir Mas dan khususnya di Kampung Lati itu hanya beliau adalah yang terulung sebagai seorang pengamal rawatan tradisional dari kalangan wanita. Walau bagaimanapun, amatlah sesuai kerana wanita memang sentiasa dihantui pelbagai masalah yang perlu dirawat. Apabila wanita menghadapi masalah dan perlukan rawatan, maka yang perlu merawatnya ialah wanita juga.

"Kak Dah lakukan rawatan ini secara ikhlas sahaja untuk membantu orang ramai yang mmenghadapi masalah tanpa mengenakan apa-apa bayaran. Tetapi jika ada yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas, Kak Dah tidak menolak.

"Kak Dah juga mengadakan hari yang khusus iaitu hari Selasa sahaja bagi orang ramai yang inginkan rawatan di rumah. Manakala hari-hari lain, Kak Dah lakukan rawatan di luar. Kebanyakan keluarga pesakit yang datang jemput sendiri ke rumah mereka", katanya yang turut bersyukur diberikan keistimewaan oleh Allah kepadanya sehingga dapat berbakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat dan bantuannya sebagai pengamal rawatan tradisional.

Justeru, perlu ditekankan bahawa kelebihan dan keistimewaan seseorang tidak siapa pun yang tahu. Jika Allah mengkehendaki seseorang itu menjadi seorang yang berguna, akan dijadikan-Nya. Ekoran dari itu, jangan kita perkecilkan kelebihan diri seseorang sebab sesuatu itu telah ditakdirkan ke atas diri individu. Paling penting, gunakanlah segala kelebihan dan keistimewaan itu untuk berbakti kepada orang-orang yang memerlukan bantuan kita tetapi tidak menyalah gunakannya untuk tujuan menganiayai orang lain pula.

Kak Dah boleh dihubungi di talian:
011-14998090   
 
Che Dah binti Noor atau Kak Dah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah kediaman Kak Dah merawat pesakit setiap hari Selasa.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD.SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan